Malam Mesra Aidilfitri Kawasan Pandan

  5 November 2007

05/11/2007 – Bunyi dentuman mercun dan warna-warni bunga api mencerahi langit walaupun sudah pukul 8.00 malam. Bunga api yang dinyalakan itu adalah untuk menyambut ketibaan YB Datuk Ong ke Malam Mesra Aidilfitri di Kampung Cheras Baru. Lebih daripada 500 penduduk Kampung Cheras Baru membanjiri Sekolah Kebangsaan Kampung Cheras Baru.  

Barisan ahli-ahli Persatuan Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Kampung Cheras Baru yang diketuai oleh Haji Muid Haji Jonit menghulur tangan untuk bersalam dengan Ahli Parlimen Pandan mereka. Ahli-ahli jawatankuasa Surau Al-Islah dan guru-guru Sekolah Kebangsaan Kampung Cheras Baru turut bersama menyambut ketibaan Datuk Ong. Maklumlah mereka adalah penganjur bersama untuk Malam Mesra Aidilfitri ini.  

Walaupung julung-julung kali majlis Aidilfitri diadakan di Kampung Cheras Baru, tetapi Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan sudah banyak menganjurkan sambutan Aidilfitri dan majlis buka puasa di sekitar kawasan Pandan setiap tahun.  

Malah, Haji Muid mengalu-alukan kehadiran Datuk Ong sambil berkata dalam ucapan beliau, “Kalau Hang Tuah dahulu gagah dengan keris beliau, Ahli Parlimen Pandan kita gagah dengan nama beliau “Ong” yang membawa maksud “tuah” dalam bahasa Cina.” Haji Muid, yang pernah mendengar Datuk Ong berpuisi pada Malam Apresiasi Puisi, terus berkata, “Marilah kita beramai-ramai menyokong penuh YB yang berjiwa rakyat malah yang dapat berpuisi dengan baik!” 

Kegembiraan rakyat Kampung Cheras Baru jelas kelihatan dengan warga tua dan muda berpakaian berwarna-warni sambil mengukir senyuman lebar.  

Datuk Ong dalam ucapan beliau berkata, “Semasa kita menyambut hari kebesaran, kita juga tidak melupakan yang kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya dan ibu bapa tunggal.” Datuk Ong turut meluahkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus berusaha untuk menganjurkan kegiatan yang membawa manfaat kepada rakyat.  

Malam mesra Aidilfitri diteruskan dengan nyanyian karaoke dan cabutan bertuah. Pada malam yang sama, 150 hamper makanan telah diedarkan untuk golongan yang kurang bernasib baik.  

Turut hadir untuk memeriahkan majlis adalah Ahli Majlis MPAJ Saudara Phua Hean Sim dan Saudari Cindy Leong, ketua-ketua masyarakat setempat, En. Chin, En. Peter Lim, En. Kat Loong, Haji Ibrahim, En. Atan dan Puan Yati.

Bunga api berwarna-warni menyambut ketibaan Datuk Ong

Haji Muid: “Ong” membawa tuah

 

Datuk Ong mengedarkan hamper untuk yang kurang bernasib baik. Latar belakang menunujukkan kehadiran lebih daripada 500 orang ke Malam Mesra Aidilfitri

Dari kiri, Haji Ibrahim, Saudara Phua, Haji Muid, Saudari Cindy Leong dan Datuk Ong

Best Viewed with IE 5.01 & above - Resolution: 1024 x 768.   All Rights Reserved.