TERJEMAHAN RINGKAS
UCAPAN YB DATUK ONG TEE KEAT DALAM MAJLIS PERHIMPUNAN AGONG
PERGERAKAN PEMUDA MCA KEBANGSAAN KE-42 PADA 19-8-05 DI HOTEL CROWN PRINCESS.
(1) Selepas 6 tahun, kini jentera pemilihan parti beroperasi semula seperti sedia kala. Pemilihan kali ini bukan saja merupakan pemilihan parti buat kali yang pertama dalam abad ke-21, malahan juga satu wadah untuk menguji tahap keberkesanan integrasi parti selepas krisis.
(2) Dalam 12 bulan kebelakangan ini, Pemuda MCA telah berjaya memantapkan keutuhan parti melalui kepercayaan sesama diri ( mutual trust ), persefahaman ( consensus ) dan kesanggupan mengujudkan ruang bagi survival bersama ( co-existence ).
(3) Sejak saya mengambil-alih sebagai Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, satu agenda pembangunan pendidikan yang berteraskan peningkatan daya saing belia telah dirumus dan dilaksanakan. Ianya telah menjadi satu-satunya jenama khidmat yang diusahakan oleh Pemuda. Agenda yang berkenaan mencakupi (i) program bimbingan bagi bakal pelajar IPT; (ii) khidmat rayuan bagi pemohon-pemohon IPTA; (iii) khidmat bantuan untuk memohon biasiswa dan pinjaman IPT; (iv) Kem Jatidiri bagi Belia IPT; (v) Khidmat bimbingan kerjaya bagi belia IPT melalui symposium dan ekspo ; (vi) Khidmat bimbingan untuk pemohon kursus matrikulasi, dan (vii) program promosi untuk pengambilan pelajar bukan-Bumiputera bagi MRSM.
(4) Dalam usaha membantu pemohon-pemohon bagi memasuki IPTA, walaupun kelihatan hasil perjuangan yang tertentu, namun masih terdapat banyak lagi kes yang perlu kita perjuangkan agar nasib mereka terbela dan seterusnya tidak tersisih dari pendidikan IPTA. Dalam hubungan ini, kita rasa terpanggil untuk menarik perhatian pihak yang berkenaan terhadap kelemahan yang masih wujud dalam mekanisma pengambilan pelajar yang sedia ada dengan cadangan, pandangan dan teguran yang berniat baik.
(5) Sesungguhnya, teguran yang sekali-sekala dibangkitkan oleh Pemuda terhadap isu-isu yang tertentu adalah bermotifkan pembelaan kepentingan rakyat dan negara, dan bukannya semata-mata untuk meraih sokongan melalui tepuk-sorak.
(6) Sedemikian juga, pandangan, cadangan dan teguran Pemuda yang kadang-kala dianggap pahit ditelan dalam parti buat seketika itu lazimnya juga terbukti kesahihan dan keikhlasan pihak Pemuda. Umpamanya, dalam Majlis Perhimpunan Agong Pemuda MCA Tahun 2000 pernah kelihatan satu cadangan lantang yang mengesyorkan perlunya had tempoh bagi jawatan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita Parti. Pada ketika itu, ianya umum dianggap sebagai sesuatu yang mengguris perasaan pucuk pimpinan parti, namun kini ianya telah terbukti kesesuaiannya dalam pengurusan parti.
(7) Sikap menolak politik cai-dan ( menu politics ) di kalangan Pemuda sejak dulu lagi lazim dianggap tidak sehaluan dengan politik badan induk parti. Namun kini Presiden parti sendiri telah melafazkan pendirian yang sama menjelang pemilihan parti 2005. Pendek kata, budaya politik yang Pemuda mencorakkan selama ini telah mendapat pengikhtirafan dari badan induk. Ini dijangka akan memberangsangkan lagi pihak Pemuda agar terus mempertahankan pegangan kita tidak berkompromi dengan amalan politik cai-dan yang jelas membelakangkan cita-rasa dan aspirasi para perwakilan.
(8) Demi untuk menyahut kepada cabaran baru semasa, parti kita terutama Pemuda perlu bersikap innovatif dan sanggup merubah agar terus berdaya-maju secara mampan. Dalam hubungan ini,wawasan, keberanian dan kesanggupan pengasas parti mendiang Sir Tan Cheng Lock untuk mengasaskan politik Cina ala-Malaya dan seterusnya membentuk permuafakatan politk antara kaumCina dengan Melayu patut disanjung dan diteladani oleh generasi muda. Sesungguhnya sikap innovatif sedemikian yang patut dibudayakan di kalangan parti sebagai pedoman perjuangan politik kita.
(9) Demi memainkan peranan yang berkesan sebagai wakil politik kaum Cina di bumi Malaysia, kita rasa terpanggil untuk memastikan agar setiap dasar Kerajaan dapat diperbincang dan dihalusi bersama dengan sedalam mungkin sebelum ianya dilaksanakan. Dalam hubungan ini, atas isu cadangan Agenda Nasional Baru oleh Pemuda UMNO, kita mencadangkan agar satu forum yang mirip kepada Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN ) dapat ditubuhkan sejajar dengan amalan musyawarah yang kita pelihara selama ini. Kini Pemuda BN telahpun mula menggerakkan satu mekanisma percambahan fikiran mengenai isu yang berkenaan menjurus ke arah ini. Ini tetap adalah satu petanda baik buat permulaan.
(10) Mengenai pelaksanaan dasar negara, kita berpegang kepada pendirian seperti yang berikut:
(i) Sebarang pengagihan kekayaan negara patut berpaksikan kepada pertumbuhan ekonomi semasa;
(ii) Penstrukturan semula ekuiti ekonomi tidak seharusnya dilaksanakan secara mikro yang membabitkan syarikat masing-masing, tetapi perlu ditangani secara makro;
(iii) Usaha membasmi kemiskinan perlu dilaksanakan tanpa mengira kaum dan kawasan, baik di Bandar mahupun di desa;
(iv) Pelaksanaan dasar meritokrasi patut diteruskan dengan lebih ketelusan dan tidak sekali-kali dipengaruhi oleh kemahuan etnik masing-masing dari segi sasaran peratusan pengambilan pelajar;
(v) Pengasuhan gunatenaga ikhtisas perlu berpaksikan keadaan permintaan dan tawaran pasaran gunatenaga semasa. Mutu kerjaya yang terlibat dalam bidang-bidang yang berkenaan juga patut dipelihara demi setara dengan mutu antarabangsa.
(11) Saya selaku Ketua Pemuda yang tidak mempertahankan jawatan saya memohon kepada para perwakilan agar memilih pucuk pimpinan parti yang berwawasan, berkaliber dan diterima umum oleh masyarakat yang kita wakili dengan penuh kebijaksanaan. Saya juga memohon maaf atas segala kekurangan yang timbul di bawah kepimpinan saya, di samping mengucapkan terima kasih kepada para rakan seperjuangan saya atas daya-usaha dan sumbangan mereka terhadap perjuangan parti dan bangsa.
![]()
© 2003-2006 Datuk
Ong Tee Keat
All Rights Reserved.
Best viewed with IE 5.01 & above - Resolution:
1024 x 768.
¡¡
¡¡